Surah al-Mu’minun 1-27
1. Sesungguhnya berjayalah orang beriman.
2. Ia itu mereka yang khusyu’ dalam solat;
3. menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
4. serta berusaha membersihkan hartanya dengan berzakat;
5. Mereka juga adalah orang yang menjaga kehormatannya,
6. kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela,
7. Barangsiapa mengingini selain dari yang demikian, maka mereka adalah orang-orang yang melampaui batas;
8. Orang beriman juga adalah mereka yang menjaga amanah dan janjinya,
9. serta sentiasa memelihara solatnya
10. Mereka itulah pewaris yang sebenar;
11. yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya".
12. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari sumber tanah;
13. Kemudian Kami telah menjadikannya sebagai benih pada penyimpanan yang kukuh;
14. Kemudian Kami jadikan benih itu sebagai gumpalan darah, lalu Kami jadikannya pula sebagai ketulan daging (mudghah). Kemudian Kami merubahkannya menjadi tulang; lalu Kami balutkan tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.
15. Sesungguhnya sesudah itu kamu akan dimatikan.
16. Kemudian kamu akan dibangkitkan semula pada hari kiamat.
17. Sesungguhnya, Kami telah menciptakan tujuh lapisan langit di atas kamu, dan Kami tidak sedikit pun lalai daripada makhluk-makhluk Kami.
18. Kami turunkan air dari langit dengan kadar tertentu, lalu Kami jadikannya tersimpan dalam bumi dan sesungguhnya Kami berkuasa menghilangkannya.
19. Dengan air itu, Kami tumbuhkan bagi kamu kebun-kebun yang lebat dengan buah-buahan tamar, anggur, dan lain-lain jenis buahan sebagai sumber rezeki bagi kamu.
20. Begitu juga Kami mengeluarkan bagi kamu minyak dan pati dari pokok yang asal tumbuhannya di pergunungan Tursina.
21. Pada binatang ternakan juga terdapat pengajaran bagi kamu di mana Kami mengeluarkan dari perutnya, susu dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; disamping dagingnya yang kamu sekalian menikmatinya.
22. Binatang-binatang ternak itu, serta kapal-kapal dijadikan pengangkutan.
23. Sesungguhnya, utusan Kami, Nuh telah berkatalah: "Wahai kaumku, sembahlah Allah, tiada Tuhan bagi kamu melainkan Dia. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?".
24. Lalu berkatalah pemimpin-pemimpin dari kalangan orang-orang kafir: Dia ini hanyalah seorang manusia biasa, dan mahu membesarkan diri ke atas kamu sekalian. Kalaulah Allah menghendaki sudah pasti mengutuskan seorang utusan dari malaikat. Kami tidak pun pernah mendengar seruan seperti ini dari datuk nenek kami.
25. Dia ini tidak lain hanyalah seorang yang gila. Oleh itu tunggulah sehingga dia pulih kembali waras.
26. Nabi Nuh berdoa: "Wahai Tuhanku bantulah aku, mereka ini mendustakan aku".
27. Lalu Kami mengarahkannya membina sebuah kapal dengan pengawasan, dan panduan wahyu Kami. Apabila tiba waktu kemusnahan mereka, dan air mula memancut dari muka bumi, maka masukkanlah ke dalam kapal itu setiap jenis haiwan berpasangan, dan juga pengikut-pengikutmu kecuali orang derhaka yang telah sabit keatasnya azab. Jangan sekali-kali engkau merayu kepadaku untuk menolong kaum zalim itu, yang akan ditenggelamkan dalam banjir taufan.