Friday, August 20, 2010

Surah al-Furqan ayat 21-43

Surah al-Furqan Ayat 21-43
21. Orang-orang yang tidak beriman dengan hari pertemuan mereka dengan Kami berkata: "Kenapa tidak diturunkan malaikat kepada kita, atau kita tidak dapat melihat Tuhan kita?" Sebenarnya, mereka sombong angkuh dengan diri mereka, dan melampaui batas.
22. Pada hari mereka melihat malaikat nanti, orang yang bersalah tidak akan menerima berita gembira, dan mereka akan berkata: "Diharapkan kita dipelihara dari sebarang keburukan".
23. Ketika itu Kami dedahkan kerja-kerja baik mereka lalu, Kami jadikannya umpama debu yang berterbangan.
24. Pada hari itu, tempat menetap penghuni syurga adalah sangat selesa, dan ianya sebaik-baik tempat istirehat.
25. Adapun pada hari dimana langit terbelah disertai dengan kumpulan awan, dan malaikat diturunkan dengan cara tersusun;
26. Maka kuasa sebenar pada hari itu hanyalah bagi Allah Yang Maha Pemurah dan ianya adalah hari yang amat sukar keadaannya bagi orang-orang kafir.
27. Orang-orang yang zalim pula akan menggigit-gigit kedua tangannya meluahkan penyesalan: "Alangkah baiknya kalau aku dahulu menjejaki jalan yang diambil oleh Rasul?
28. "Betapa sial dan malangnya aku kerana aku mengambil si dia itu sebagai kawan karib!
29. "Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari kebenaran setelah ia disampaikan kepadaku. Dan syaitan itu sentiasa berusaha untuk menghampakan manusia ".
30. Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah meninggalkan ajaran al-Quran".
31. Begitulah Kami jadikan bagi setiap Nabi, musuh dari kalangan orang yang bersalah. Oleh itu, wahai Muhammad, cukuplah Tuhanmu sebagai Petunjuk dan Penolong.
32. Orang kafir berkata: "Kenapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada Nabi Muhammad sekaligus?" Al-Quran itu tidak diturunkan sekaligus kerana Kami hendak menenteramkan dengannya hatimu wahai Muhammad, dan Kami bacakannya kepadamu secara tartil.
33. Mereka berhujjah kepada kamu dengan sesuatu yang palsu dan batil sedang Kami bawakan kepadamu wahyu kebenaran dan sebaik-baik penjelasan untuk menangkisnya.
34. Mereka itulah orang yang akan diseret ke neraka Jahannam dengan muka tertiarap, tempat kembali mereka itu amat buruk dan jalan mereka lalui amat sesat.
35. Kami telah anugerah Taurat kepada Nabi Musa, dan Kami telah jadikan saudaranya, Nabi Harun, sebagai pembantunya.
36. Kemudian Kami arahkan : "Pergilah kamu berdua kepada kaum yang mendustakan kebenaran Kami"; maka kesudahannya Kami musnahkan mereka semuanya.
37. Adapun kaum Nabi Nuh, ketika mereka mendustakan Rasul-rasul Kami, Kami tenggelamkan mereka, dan Kami jadikan mereka satu tauladan kepada manusia. Kami sediakan azab yang pedih bagi orang yang zalim.



38. Begitu jugalah dengan kaum ‘Ad dan Thamud serta penduduk bandar Rass dan beberapa generasi lain yang hidup pada zaman itu.
39. Setiap mereka, Kami tunjukkan contoh tauladan supaya mengambil pengajaran, sehinggalah Kami hancurkan mereka sehancur-hancurnya.
40. Mereka juga pernah melalui perkampungan yang telah dihujani dengan azab yang buruk, maka, tidakkah mereka mengambil pengajaran darinya? Sebenarnya mereka tidak pun ingatkan adanya hari kebangkitan semula untuk pembalasan.
41. Apabila melihatmu wahai Muhammad, mereka hanyalah menjadikanmu ejek-ejekan sambil berkata: "Inikah orangnya yang Allah utuskan sebagai RasulNya?
42. "Hampir-hampir dia menjauhkan kami dari menyembah tuhan-tuhan kami, jika tidak kerana kami mempertahankannya". Hanya ketika mereka melihat azab, mereka akan mengetahui: siapakah sebenarnya sesat.
43. Tidakkah kamu melihat, wahai Muhammad, orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Dapatkah engkau menjamin dia supaya tidak sesat?