Friday, July 16, 2010

Kalimah “sayyidina” Dalam Selawat

Kalimah “sayyidina” Dalam Selawat



Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah pernah ditanya berkenaan kalimat selawat untuk Nabi yang dibaca dalam solat dan di luar solat, sama ada yang wajib atau pun yang sunnah/sunat:

“Apakah dalam ucapan selawat itu disyari’atkan menggunakan kata-kata Sayyid, seperti orang mengatakan “Allahumma shalli ‘ala sayyidina Muhammad” atau “’ala sayyidina khalqi” atau “’ala sayyid waladi” atau hanya menggunakan kata-kata “Allahumma shalli ‘ala Muhammad”. Manakah yang lebih baik daripada ucapan-ucapan itu? Apakah digunakan kata-kata sayyid atau tidak menggunakannya kerana tidak tersebut dalam hadis-hadis.”


Jawab al-Hafiz Ibnu Hajar: “Benar, mengucapkan lafaz-lafaz selawat sebagaimana tersebut dalam riwayat hadis adalah yang benar. Janganlah sehingga ada orang yang mengatakan Nabi tidak menggunakan kata-kata sayyid dalam bacaan selawat hanya disebabkan sikap rendah diri (tawadhu’) sahaja sebagaimana juga tidak layak ketika orang mendengar disebut nama Nabi tidak menyahut dengan ucapan shalallahu ‘alaihi wasallam. Semua orang Islam dianjurkan untuk mengucapkan kata tersebut setiap kali mendengar sebutan nama Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam. Saya (Ibnu Hajar) menyatakan bahawa sekiranya benar bahawa ucapan sayyid itu ada, niscaya disebutkan dalam riwayat dari sahabat dan tabi’in. Akan tetapi, saya (Ibnu Hajar) tidak menemukan adanya riwayat seperti itu dari seorang sahabat atau tabi’in pun, padahal begitu banyak cara bacaan selawat yang diterima dari mereka. Al-Syafi’i rahimahullah sebagai seorang yang sangat memuliakan Nabi shalallhu ‘alaihi wasallam juga tidak menyebutkan kata sayyidina dalam awal pembukaan (muqaddimah) kitabnya. Padahal al-Syafi’i adalah contoh ikutan para pengikut mazhabnya. Beliau (al-Syafi’i) hanya menyebutkan “Allahumma shalli ‘ala Muhammad.”[1]


Nabi Shallallahu ‘alaihi was Sallam sendiri pernah melarang para sahabatnya yang menisbahkan kalimah “Sayyidina” atas nama dan diri beliau.

“Muharrif bin Abdullah radhiyallahu ‘anhu berkata bahawa ayahnya pernah bersama satu rombongan dari Banu Amir pergi berjumpa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi was Sallam. Apabila mereka tiba, mereka berkata kepada Rasulullah: “Anta Sayyidina!” Mereka (Banu Amir) berkata lagi: “Engkau adalah yang paling mulia kemuliaannya, dan yang paling besar keutamaannya.” Rasulullah menjawab: “Berkatalah kamu dengan perkataan kamu itu, akan tetapi janganlah sampai syaitan menjadikan kamu sebagai wakilnya”.”[2]



Anas bin Malik r.a. berkata:



“Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi was Sallam seraya berkata: “Ya Muhammad! Ya Sayyidina Ibni Sayyidina! Wahai yang terbaik di kalangan kami dan anak kepada yang terbaik di kalangan kami!” Rasulullah menjawab: “Wahai manusia, hendaklah kalian bertaqwa dan jangan membiarkan syaitan mempermainkan engkau. Sesungguhnya aku adalah Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya; dan aku bersumpah kepada Allah bahawasanya aku tidak suka sesiapa mengangkat kedudukan aku melebihi apa yang telah Allah ‘Azza wa Jalla tentukan bagiku”.”[3]


Daripada apa yang dipaparkan, ia menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri menegah dari menggunakan lafaz Sayyidina ke atas dirinya.



Diringkaskan:

1 - Semua lafaz selawat yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. tidak ada satu pun tambahan kalimat sayyidina.[4]

2 – Dalam riwayat-riwayat yang sahih, para Sahabat sendiri yang begitu mencintai Rasullah s.a.w., tidak menggunakan lafaz Sayyidina dalam berselawat.


3 – Para imam mazhab sendiri juga tidak menggunakan lafaz Sayyidina dalam berselawat. Malah, dalam mukaddimah kitab al-Umm oleh Imam asy-Syafi’i, beliau sendiri tidak meletakkan kalimat Sayyidina dalam selawatnya.



Maka, perkataan siapakah yang lebih baik?



Contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi was Sallam atau rekaan-rekaan baru dalam agama yang dibuat oleh tangan-tangan manusia?



Seandainya benar kalimah Sayyidina itu bagus, kenapa tidak ditambahkan ke dalam lafaz kalimah Syahadah atau seterusnya ke dalam lafaz azan dan iqamah? Wajarlah kita semua menilaikannya semula. Perlu difahami bahawa lafaz-lafaz zikir dan selawat yang diajarkan nabi berserta dengan fadhilat-fadhilatnya yang tersebut adalah suatu bentuk ibadah yang tauqifiyah (bersifat tetap/baku). Tidak boleh kita menokok tambah dan mereka cipta dengan lafaz-lafaz yang baru selainnya.



[1] (Dinukil dari Kitab Sifat Sholat Nabi, Oleh Sheikh Muhammad Nashidruddin al-Albani, Terbitan Media Hidayah, m/s. 215-216)

[2] (Diriwayatkan oleh Abu Daud, dinilai sahih oleh Sheikh al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud, hadis no. 4806. Berkata Ibn Muflih dalam al-Adab al-Syar’iyyah wa al-Minah al-Mar’iyyah, jil. 3, m/s. 455, “Sanadnya baik (jayyid))

[3] (Diriwayatkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, hadis no. 12551, jil. 3, m/s. 153. Sanadnya dinilai sahih oleh Sheikh Syu’aib al-Arnauth dan rakan-rakan. Juga dikeluarkan oleh al-Nasa’i dalam ‘Amal al-Lail wa al-Yaum dengan sanad yang baik (jayyid) sebagaimana nilai Ibn Muflih dalam al-Furu’, jil. 3, m/s. 568)

[4] (Lihat Fadha’il ash-Sholat wa as-Salam ‘ala Muhammad Khoiril Anam oleh Sheikh Muhammad bin Jamil Zainu rahimahullah hal. 10-11, dan perkataan semisal oleh Ibnu Utsaimin rahimahullah dalam Syarh Bulughul Maram dalam penjelasan hadis Ibnu Mas’ud, 249)