Suatu ketika, terdapat seorang lelaki yang berkata, “Sungguh aku akan bersedekah!” Kemudian ketika dia keluar dari rumahnya untuk memberikan sedekah, sedekahnya itu jatuh ke tangan seorang pencuri! Hal itu cepat tersebar dalam kalangan penduduk sehingga menjadi buah mulut dalam kalangan mereka. Ketika perkara itu sampai ke pengetahuan lelaki yang memberikan sedekah tadi, dia berkata, “Allahumma lakal hamdu (Ya ALLAH, bagi-MU segala pujian). Sungguh aku akan bersedekah!”
Kemudian dia keluar lagi untuk menunaikan niat sucinya itu. Akan tetapi kali ini lebih teruk lagi. Sedekahnya jatuh ke tangan seorang perempuan penzina! Penduduk setempat bercakap-cakap mengenai perkara tersebut, “Sebelum ni beri sedekah kepada pencuri. Semalam bersedekah kepada seorang penzina pula!”
Apakan daya, mungkin memang telah demikian takdir telah disuratkan. Si lelaki tadi hanya mampu mengungkapkan kalimah pujian kepada Tuhannya, “Allahumma lakal hamdu (Ya ALLAH, bagi-MU segala pujian). Sungguh aku akan bersedekah!”
Maka sekali lagi dia keluar untuk memberikan sedekah. Kali ini sedekahnya jatuh ke tangan seorang kaya. Lalu sekali lagi perbuatan lelaki tersebut menjadi perbualan hangat dan gosip panas penduduk.
Apabila cakap-cakap orang ramai sampai ke telinganya, lelaki itu hanya mampu mengucapkan, “Allahumma lakal hamdu ‘ala sariq, wa ‘ala zaniyah, wa ‘ala ghoniy. Ya ALLAH, bagi-MU segala puji (yang telah menakdirkan sedekah itu jatuh ke atas) pencuri, wanita penzina dan si kaya.”
Selang beberapa ketika, lelaki tadi didatangi oleh seseorang lalu dikatakan kepadanya, “Adapun sedekahmu kepada pencuri maka mudah-mudahan sedekah itu mencukupkan dirinya daripada mencuri lagi, dan penzina maka mudah-mudahan sedekahmu itu mencukupkan dirinya daripada melacurkan diri lagi, dan adapun sedekahmu ke atas si kaya maka mudah-mudahan sedekah itu memberi iktibar kepadanya sehingga dia juga akan memberi infaq dengan harta yang telah Allah kurniakan kepadanya.”
Kisah di atas diceritakan oleh Rasulullah kepada para sahabat, diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dari Abu Hurairah. Ia juga turut diriwayatkan oleh imam Muslim dengan teks yang sedikit berbeza.
Banyak pengajaran yang terkandung dalam kisah di atas. Antaranya adalah tentang kepentingan dan nilai niat. Perbuatan yang dilakukan oleh umat manusia, sama ada perbuatan baik mahupun buruk adalah didorong oleh kekuatan niat. Maka amat beruntunglah seseorang yang melakukan amal kebajikan atas dorongan yang kuat dari lubuk hatinya yang bersih.
Selain niat yang ikhlas, sesuatu amal juga perlu didasari dengan kefahaman Islam yang sohih agar niat ikhlas tersebut tidak dimanifestasikan melalui amal yang rosak sehingga tertolak di sisi Allah. Contoh mudah yang banyak berlaku kini ialah penganjuran konsert amal untuk anak-anak yatim dan seumpamanya. Hasil sumbangan dan kutipan dari konsert tersebut akan disalurkan untuk membantu golongan yatim piatu. Niat penganjur telah ikhlas yakni untuk membantu mereka yang memerlukan dan serba kekurangan. Namun malangnya cara yang dilaksanakan bertentangan dengan syarak dengan penganjuran konsert yang disertai oleh artis-artis yang tidak menutup aurat, nyanyian lagu-lagu yang mengajak kepada dosa seperti bercinta, tarian gelek dan aksi artis wanita yang menggiurkan dan sebagainya.
Kembali kepada kisah di atas, si lelaki tetap mendapat ganjaran amal sedekahnya walaupun dia tersilap menghulurkan sedekah, kerana niatnya yang ikhlas untuk beramal. Malah kesilapan tersebut justeru sangat mungkin menjadi motivasi kepada pencuri, penzina dan si kaya tadi untuk meninggalkan perbuatan dosa yang telah biasa mereka lakukan dan kemudian turut sama mengerjakan amal soleh, asbab dari sedekah si lelaki tersebut. Betapa besar ganjaran yang diperoleh dengan satu kebajikan yang dilakukan. Semuanya bermula dari dorongan niat yang ikhlas.
Dalam sebuah kejadian pada zaman Rasulullah, seorang sahabat bernama Abu Yazid Ma’nu bin Yazid bercerita, “Ayahku Yazid biasa mengeluarkan beberapa dinar emas untuk bersedekah. Kemudian dia akan mengamanahkannya kepada seorang lelaki di masjid untuk mengagihkannya. Lalu aku mendatangi lelaki yang diamanahkan tersebut dan mengambil sebahagian dinar. Kemudian aku mendatangi ayahku dan menunjukkan dinar tersebut. Maka ayahku berkata, ‘Demi Allah! Bukan kepada engkau aku menghendaki diberikan sedekah itu!’
Lalu aku mengajukan hal ini kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, maka baginda bersabda, ‘Bagimu apa-apa yang engkau niatkan wahai Yazid, dan bagimu apa-apa yang kau ambil wahai Ma’nu.’
Hadith ini diriwayatkan dalam Sohih al-Bukhari.
Ma’nu bin Yazid ialah seorang miskin kerana itu dia menjadi berhak ke atas sedekah tersebut. Adapun Yazid tetap mendapat pahala untuk setiap dinar yang disedekahkannya walaupun dinar tersebut jatuh ke tangan anak kandungnya sendiri. Demikian kerana kekuatan niat.
Begitu juga dengan sebuah kisah yang berlaku pada zaman Bani Israel seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri, berkenaan seoarang pembunuh yang telah membunuh 100 orang. Kerana keinginannya yang kuat untuk bertaubat, dia dinasihatkan oleh seorang alim supaya berpindah ke tempat lain yang penduduknya terdiri daripada orang-orang soleh. Walaupun dia mati sebelum sempat sampai ke destinasi, namun Allah tetap mengampunkan dosanya dan rohnya dibawa pergi oleh malaikat rahmat. Mengapa demikian? Kerana kuatnya niatnya untuk bertaubat dan berubah.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari, Anas bin Malik bercerita, “Ketika kami dalam perjalanan pulang dari peperangan Tabuk bersama-sama baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda, ‘Sesungguhnya ada beberapa orang yang tertinggal di Madinah (tidak ikut berperang). Tiadalah kita melalui suatu dusun atau lembah, melainkan mereka bersama kita. Mereka tertahan oleh keuzuran’.”
Dalam hadith yang lain pula, Jabir bin Abdullah menyebut, “Ketika kami bersama-sama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dalam suatu peperangan, baginda bersabda, ‘Sesungguhnya di Madinah terdapat beberapa orang lelaki (yang tidak ikut berperang). Tiadalah kalian menempuh suatu perjalanan atau menyeberangi suatu lembah melainkan mereka berkongsi pahala dengan kalian. Mereka terhalang oleh penyakit’.” (HR Muslim)
Jihad fi sabilillah adalah suatu amal agung yang sangat mulia dan amat besar ganjarannya. Bukan hanya ketika berada di medan, malah para mujahidin telah mula mengutip pahala ketika mereka memulakan langkah pertama di Madinah. Setiap langkah mereka adalah bernilai pahala dan amat mulia di sisi Allah kerana setiap langkah mereka adalah dengan niat untuk menegakkan Islam dan menghancurkan kekufuran yang cuba menodai agama ini. Namun demikian ada sebilangan sahabat yang tidak dapat turut serta dalam peperangan, bukan kerana alasan-alasan bodoh yang selalu diberikan oleh kaum munafiqin, tetapi kerana mereka betul-betul tidak bekemampuan akibat sakit atau kerana tidak cukup dana untuk membeli kelengkapan perang, bekalan perjalanan dan kenderaan. Mereka inilah yang diceritakan oleh Allah dalam ayat berikut;
Dan tidak ada (pula dosa) atas orang-orang yang datang kepadamu (wahai Nabi) agar engkau memberi kenderaan kepada mereka, lalu engkau berkata, “Aku tidak mendapatkan kenderaan untuk membawa kalian.” Lalu mereka kembali sedang mata-mata mereka bercucuran air mata kerana sedih, disebabkan mereka tidak memperoleh apa-apa yang dapat mereka infaqkan (untuk ikut berperang). (surah at-Taubah; 9:92)
Kuatnya niat mereka untuk pergi berjihad, andai tiada aral yang melintang nescaya pasti mereka akan turut serta. Kerana itulah Allah tetap memberikan ganjaran buat mereka.
Contoh kes lain mengambil istinbath dari hadith di atas adalah seorang lelaki yang sentiasa menghadiri solat jemaah di masjid. Jika tiada apa yang menghadang pasti akan kelihatanlah mukanya di masjid. Lalu pada suatu hari beliau sakit teruk atau baru terlibat dalam kemalangan yang memaksa beliau untuk solat di rumah. Kendati hanya solat sendirian namun beliau tetap memperoleh pahala berjemaah kerana yang menghalangnya adalah keuzuran. Habasahumul udzru.
Demikianlah nilai yang ada pada niat, yang mungkin dipandang kecil oleh sebahagian kita. Kekuatannya sangat besar kerana niatlah yang mendorong kita melakukan sesuatu amal. Kerana itu tetapkanlah niat yang kuat dalam hatimu untuk melaksanakan amal soleh berterusan sepanjang hayatmu di bumi Allah ini, selagi hayatmu masih berbaki. Dan yang paling penting, ikhlaskanlah niatmu kerana Allah semata, agar amal itu bernilai di sisi-NYA.
http://kawankulat.multiply.com/journal/item/90